10 Oct 2023

Menu rumah terbuka untuk warga emas

Nikmati aneka juadah raya dalam kuantiti sederhana, pilih makanan sihat
Oleh Jami’ah Sokri
jamia@bh.com.my
Majlis rumah terbuka yang menyediakan aneka juadah, kini masih lagi rancak bagi menjamu tetamu yang datang beraya. Kebiasaannya, tetamu meliputi pelbagai lapisan usia termasuk warga emas. Justeru bagi kelompok usia emas banyak pantang larang mereka untuk kekal sihat. Mereka sebenarnya masih boleh menikmati pelbagai juadah, Cuma utamakan pemakanan sihat dan bersederhana dalam pengambilan makanan. Pakar Diet dan Pengajar Klinikal Bahagian Pemakanan dan Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Nur Atiqa Ali, berkata secara umum warga emas tiada sekatan pemakanan tertentu, sebaliknya semua jenis makanan boleh diambil tetapi dalam kuantiti sederhana dan pilih makanan lebih sihat ketika berziarah. Katanya, makanan lebih sihat seperti laksa dan buah-buahan boleh diambil kerana kandungan kalori yang lebih rendah dan berkhasiat. “Sekiranya tuan rumah hanya menghidangkan air manis, tetamu boleh minta air kosong untuk pilihan yang lebih sihat,” katanya. Pesakit kronik lebih berwaspada Namun, warga emas yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan buah pinggang perlu lebih prihatin terhadap menu dipilih. Malah, ada warga emas yang mempunyai masalah mengunyah atau menelan sesetengah tekstur makanan keras disebabkan masalah gigi. Pemilihan tekstur makanan lebih lembut dan dipotong dalam saiz kecil mudahkan mereka makan. Contoh makanan lembut ialah berasaskan sup dan bubur seperti mihun sup, bubur lambuk dan laksa. “Sekiranya makan rendang daging atau ayam hendaklah dipotong kecil-kecil. Tekstur yang sesuai bergantung juga kepada penerimaan individu,” katanya. Untuk warga emas yang menjaga diet sihat terutama pesakit kencing manis, kuih yang bersalut gula bukan pilihan makanan baik kerana kandungan gula di dalamnya agak tinggi dan boleh menyebabkan gula di dalam darah tidak terkawal. Jadi, perlu diketahui dalam sesetengah masakan juga ada gulatambahan perisa untuk memberi rasa yang lebih sedap pada makanan. “Pilih kuih atau makanan yang kurang manis dan kawal kuantiti makanan. Sekiranya ada pilihan buah-buahan adalah lebih baik. “Tuan rumah juga memainkan peranan penting menyediakan pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat, rendah kandungan gula, minyak, santan dan garam,” katanya. Ambil vitamin B12, D dan kalsium Jelasnya, bagi mengekalkan kesihatan sihat sepanjang Aidilfitri ini seimbangkan pengambilan vitamin iaitu B12, vitamin D dan kalsium. Kekurangan vitamin B12 berlaku disebabkan masalah kurang penyerapan berlaku di dalam perut akan mempunyai kesan terhadap sistem saraf di kalangan warga emas. “Makanan kaya dengan vitamin B12 selalunya daripada sumber haiwan seperti kerang, tiram, ikan makerel, ikan tuna, daging lembu, telur, ayam, itik dan sumber tumbuhan yang didedahkan kepada aktiviti bakteria atau penapaian seperti yogurt, tempe dan tofu. Kekurangan vitamin D juga boleh berlaku walaupun Malaysia kaya dengan sinaran matahari antaranya disebabkan masalah buah pinggang dan kurang pengambilan vitamin D dalam diet. Antara sumber yang kaya dengan vitamin ini ialah ikan berlemak seperti ikan salmon, tuna, sardin, makerel, minyak ikan kod, telur kuning dan produk tenusu. “Produk komersial di pasaran seperti bijirin, roti, mentega dan yogurt diperkayakan dengan vitamin D. “Penyerapan kalsium dalam sistempenghadaman semakin berkurangan selepas berusia 60 tahun menyebabkan masalah osteoporosis. “Makanan yang tinggi kandungan kalsium antaranya ialah susu dan produk tenusu, ikan sardin dalam tin, ikan bilis, kekacang seperti dal kuning, dan sayuran,” katanya. Antara makanan mengandungi ketiga-tiga kandungan nutrien di atas ialah sayur masak lodeh yang mempunyai tempe, tofu dan ikan bilis.
Ganti menu tinggi kolesterol Warga emas memerlukan lebih kurang 1.6 liter air sehari untuk Wanita dan dua liter air sehari untuk lelaki. Sebagai contoh satu gelas air ialah bersamaan 250 mililiter (ml) dan satu kiub ais bersamaan 10ml air. Sekiranya beraya dalam perjalanan jauh, warga emas atau penjaganya boleh bawa bersama air kosong di dalam botol dan pantau pengambilan air dalam sehari. “Ini kerana ada sesetengah warga emas tidak boleh ingat berapa banyak kuantiti air yang diminum hingga menyebabkan masalah dehidrasi dalam kalangan warga ini. “Oleh itu, pemantauan kerap diperlukan untuk memastikan warga emas minum air mencukupi. Alahan makanan Alahan makanan biasanya membabitkan sistem imun, di mana alergi makanan immunoglobulin-E (Ig-E), sekiranya dimakan dalam jumlah sedikit boleh menyebabkan reaksi alergi yang boleh membawa maut seperti anafilaksis. Bagi mereka mempunyai Alahan kepada sesetengah makanan, perlu lebih peka bahan yang digunakan dalam makanan. “Sebelum makan lebih baik bertanya terlebih dahulu kepada tuan rumah, adakah terdapat alergen atau bahan yang menyebabkan alahan dalam makanan. “Sebagai contoh, ada sesetengah warga emas alah terhadap makanan laut seperti udang kering dan kacang tanah boleh menyebabkan kulit menjadi radang dan gatal,” katanya. Dua kumpulan makanan utama menyebabkan majoriti masalah alahan biasanya ialah ikan atau makanan laut dan kacang tanah atau kekacang. Jika dilihat alergen kebiasaannya berasaskan protein. Sekiranya mereka mempunyai alahan terhadap alergen tertentu cara terbaik untuk mengelakkan alahan berlaku ialah dengan mengelak makanan dimasak menggunakan sumber makanan itu. Sumber makanan lain yang mengandungi protein boleh diambil bagi menggantikan kacang tanah seperti ayam, ikan, tofu atau tempe selagi makanan itu tidak menyebabkan alahan.